Suasana hening pagi tersebut, begitu suram. Kebetulan kabus yang menebal menambah kesuraman dan keheningan pagi. Satu majlis perpisahan diadakan bagi meraikan pemergian Ustazah yang mengajar Bahasa Arab ini. Di hadapan tapak perhimpunan semua pelajar dan guru berkumpul bagi meraikan majlis perpisahan tersebut yang ala-ala "grand gitu". (Bersambung)...
Friday, February 27, 2009
Jangan katakan Selamat Tinggal! Tapi katakan Semoga Bertemu Kembali
Hari ini merupakan hari terakhir Ummu Nu'man bertugas di sekolahnya. Beliau akan berpindah dan bertugas di tempat lain bermula pada 2 Mac ini di tempat yang pastinya begitu asing baginya. Setelah 8 tahun bermukim di SMKA.... , beliau akan berpindah ke sekolah menengah harian biasa yang tentunya berbeza sama sekali dari pelbagai sudut. Perpindahan ini sebenarnya bukan dipinta, tetapi atas alasan keperluan perkhidmatan, beliau akan mencurahkan baktinya sebagai pendidik di tempat baru tersebut.
Thursday, February 26, 2009
Sibukkah kita? Bagaimana mengatasinya??
Adakah kita senantiasa sibuk? Dari tempoh 24 jam yang diberi setiap hari pasti ada yang menyatakan kalaulah boleh masa dipanjangkan lagi lebih dari 24 jam sehari. Dari pagi keluar bekerja sehingga ke malam masih bekerja. Ada yang kerjanya tidak mengira masa. Ada yang kerjanya tidak pernah ada cutinya. Kerja, kerja dan kerja....
Bila masa istirehatnya? Bila pula masa dengan keluarga? Bila pula masa bersantai dengan anak-anak? Bila pula merawat hati yang gundah gulana dengan tekanan dan bebanan kerja di pejabat atau di mana-mana? Bila masa pula nak bermunajat dengan Yang Esa?
Kerja! Kerja! kerja.... Bila titik hentinya.?
Entahlah. Persoalan ini sering mengganggu diri ini. Ini kerana tempat bertugasku penuh dengan kerja. Bebanan kerja bertambah-tambah. Belum habis kerja yang pertama, datang pula kerja yang kedua, begitulah seterusnya. Memamg benar ada kata-kata Saidina Umar " bekerjalah kamu seolah-olah kamu hidup selamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu mati esok hari (اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا واعمل لأخرتك كأنك تموت غدا). Soalnya mampukah kita menampung segala bebanan kerja dunia dan pada masa yang sama menunaikan tanggungjawab akhirat(ibadah)? Dalam ertikata yang lain dapatkah kita menyeimbangkan kedua-duanya pada neraca yang sama. Wallahu a'lam. Pasti ada yang Pro dan ada yang kontra.
Aku seorang guru. tugasku yang utama mengajar dan mendidik anak didikku. Pengkhususanku Agama dan bahasa Arab. Core business mestilah memastikan ajaran agama diajar, dihayati dan diamalkan. Begitu juga dengan bahasa Arab. Memastikan objektif pengajaran dapat dicapai iaitu memastikan keempat-empat kemahiran bahasa iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis dikuasai oleh pelajar. Aku cuba dab bertekad untuk memastikan misi tersebut tercapai.
Tetapi apakan daya.Aku insan biasa. Dalam kesibukan merealisasikan misi, seribu satu macam kerja disuruh lagi. "Cikgu sebagai guru penasihat persatuan, kelab dsb perlu memastikan pelajar hadir dan melakukan aktiviti kokurikulum. " Cikgu sebagai guru kelas perlu memastikan buku rekod kedatangan pelajar diisi setiap hari." Cikgu sebagai Guru Panitia kena buat TOV, Headcount dan seumpamanya." Cikgu sebagai Ajk PIBG kena hadiri mesyuarat PIBG ". Cikgu sebagai Guru ICT kena mengendalikan Laman Web sekolah. Cikgu sebagai guru Biasiswa kena pastikan pelajar-pelajar yang berkelayakan mendapat biasisiwa. Cikgu sebagai itu dan ini kena buat begitu dan begini." Begitulah senario yang berlaku di sesetengah sekolah.
Kadang-kadang rasanya tugas-tugas perkeranian dan tugas pengurusan lebih banyak daripada tugas mengajar dan mendidik. Sehinggakan ada yang terpaksa mengabaikan core business untuk menyempurnakan tugas-tugas ini. Bahkan yang lebih malang lagi ada guru yang mendapati dirinya mengidap darah tinggi, kencing manis dan sewaktu dengannya kerana terlalu memikirkan bebanan kerja yang kian bertambah tak pernah sudah. Wallahua'lam, Ini bukan dakwaan tetapi memang terjadi kepada segelintir warga pendidik.
Bagi yang positif pemikirannya, dia akan berkata, inilah pengorbanan seorang guru, Guru ibarat lilin yang membakar diri tetapi menerangi semua. Besar pahalanya. Bagi yang sebaliknya, Bukankah guru juga seorang manusia. Punyai perasaan dan jiwa. Bukan robot yang boleh diarah berbuat sesuka hati semata. Guru juga punyai keluarga. Ada isteri, ada suami, ada anak-anak. Perlu diluangkan masa dengan mereka. Ini satu tuntutan dan tanggungjawab agama.
Kerja! kERJA & KERJA!
Sibukkah kita sehingga tiada masa untuk yang lainya.
Persoalannya bagaimana mengatasinya?
Assalamualaikum pembuka bicara.......
Assalamualaikum pembuka bicara. Alhamdulillah pada Yang Esa. Mudah-mudahan dirahmati hendaknya. Salam perkenalan buat semua. Ikatan ukhuwwah moga bertambah erat sentiasa. Awal bicara hendak dinyata. Blogku mula tercipta. Ingin mencatat seribu satu macam cerita.Harapanku macam blogger yang lain-lainnya. Ingin menulis bertukar maklumat dan ilmu di dada. Semoga diterima seadanya.....
Sebenarnya hasrat ingin mencipta blog sendiri ni dah lama. Tetapi baru sekarang ini hati terbuka untuk mencoretkan catatan-catatan bermakna buat tatapan semua. Persepsi pertama, rasanya macam 'syok sendiri saja' bila menukilkan coretan di dalam blog. Ini kerana jauh di sudut hati ini persoalan yang sering timbul,"Siapa yang nak baca catatanku ini?" Rasa-rasanya aku sorang aja kut. Tetapi bila melihat sahabat-sahabat yang lain dah ada blog sendiri dan bermacam-macam cerita yang dinukilkan, rasa semangat berkobar-kobar untuk mencipta blog dan berkongsi cerita suka duka dan pengalaman yang tentunya punyai ibrah dan pengajaran. Maka dengan itu terciptalah blog ini bersempena semangat menyambut Maulid Arrasul . Marilah kita sentiasa berselawat ke atas nabi. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم
Subscribe to:
Posts (Atom)